Followers

Sunday, June 14, 2009

..::LAFAZ YANG TERSIMPAN::..

" Mak tengok la ni, semua dah lukis. Mak, kak jue, kak sara, kak nang, abang, kak aleng, tina." Rengek saya.

" Wah... cantik! pandainya tina lukis." Pujuk mak.

" Tapi cikgu suruh lukis gambar keluarga, macam mana nak lukis gambar arwah ayah ni?." Balas saya.

" Minta tolong kak nang lukiskan." Pinta mak.



.....................................


" Kak, mak suruh tolong lukiskan muka arwah ayah."

" Lukislah sendiri."

" Tak tau.."

" Kalau nak tau muka arwah ayah, tengoklah muka pakcik, sama, mirip sangat." Jawab kak nang yang dari tadi sibuk dengan kerja-kerja sekolahnya. Pakcik yang di maksudkannya tadi adalah adik kepada Arwah Ayah.

" Tapi yang tu kan muka pakcik, mana boleh sama dengan muka ayah. Muka ayah, muka ayah! muka pakcik, muka pakcik! " Bisik hati saya yang sebenarnya ada rasa sedikit tidak berpuas hati. Saya langsung tidak dapat menggambarkan wajah Arwah Ayah kerana pemergiannya ketika itu, saya baru berusia 4 tahun.



.....................................



" Mak, yang adapun gambar ayah masa bujang, yang lain kan semua dah hilang." Kedengaran kak nang berbisik dengan mak di hadapan televisyen.

" Mana gambar keluarga yang kamu tiga beradik dulu? bagilah yang tu." Kata mak.

" Nah, lukislah yang ni." Kak nang menghulurkan gambar keluarga yang ketika itu mereka baru tiga beradik, kak nang yang masih bayi duduk di pangkuan mak, kak sarah berdiri di sebelah kiri mak dan kak jue berdiri di sebelah kanan Arwah Ayah. Mereka masing-masing berusia 9 bulan, 3 tahun dan 4 tahun.

" Hehe.. comelnya kak nang. Tapi kat sini muka arwah ayah masih muda, takkan nak lukis muka mak sekarang dan muka arwah ayah masa muda ni." Kata saya yang sebenarnya masih sukar untuk membayangi wajah Arwah Ayah.

" Kalau cikgu tanya, cakaplah macam ni. Ayah saya memang handsome cikgu, dulu, kini dan selama-lamanya, wajah dia takkan berubah, percayalah cikgu." Usik kak nang sambil menunjukkan gaya dialog yang kononnya untuk saya kepada cikgu.

Kelihatan mak melirik pada kak nang sambil tersenyum.


Tanpa bersoal jawab, saya cuba melukis wajah Arwah Ayah dengan 'bantuan' gambar hitam putih itu tadi.


Dan hasilnya, Alhamdulillah dapat 'pingat' huruf A. Handsome juga arwah ayah ni. Bisik hati saya.



............ KISAH 16 TAHUN YANG LALU.............



Hari ini genaplah 20 Tahun pemergian Arwah Ayah,

Salam Sayang yang penuh kerinduan dengan LAFAZ YANG TERSIMPAN buat Arwah Ayah yang tersayang..

"Selamat Hari Bapa" buat semua bapa-bapa di seluruh dunia.

Untuk Kami adik beradik, tiada yang terlepas di setiap saat hari-hari kami mengingati Arwah Ayah. Doa-doa kami buat Mak dan Arwah ayah sentiasa mewarnai kehidupan, kerana kelahiran kami atas nama cinta suci, Mak dan Arwah Ayah. Kami amat menghargainya di dunia hingga ke akhirat nanti, Insya Allah.

Terima kasih Ya Rabbi, Terima kasih Mak, Terima Kasih Mak, Terima Kasih Mak, Terima Kasih buat Arwah Ayah yang sentiasa di rindui..

Dari Kami... anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu Mak dan Arwah Ayah.

::> Untuk bakal menantu dan cucu yang kini sedang berbahagia di rahim Umminya. Maaf di pinta, kerana keluarga ini tidak dapat menghadiahkan seorang ayah mertua dan seorang datuk buat kalian. Namun, keluarga ini sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian, dan semoga kehadiran kalian dalam keluarga ini menambahkan lagi seri kebahagiaan kami. <::

Friday, June 12, 2009

ISLAM PASTI BOLEH

Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik
Dari semalam

Jangan Buang Masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada Allah Maha Kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Doa sebagai senjata

Umat Islam sentiasa Boleh!!
Umat islam sentiasa boleh!!

Umat Islam zaman lampau
Taat perintah Rasulullah
Bersama berusaha
Bersatu tuju wawasan
Dunia dan akhirat
Wawasan dunia dan akhirat

Akhirnya islam cemerlang seluruh dunia..




To: Anis~ Betul ke lirik nie? hehe..lupa-lupa ingat plak..
To: Kak Ita~ Terharu ke? ehe, tak ada apa la kak..itu sekadar Ceritera Citra Cahaya Cinta, huhu.. Hati tengah sedih kot! =) ntah, happy pun mungkin gak..=) Confious! Forget it!

Wednesday, June 10, 2009

KETULUSAN HIKMAH MAHA PERANCANG

Segala puji hanya bagi Allah S.W.T. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam sentiasa tercurah untuk Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. berserta keluarga, para sahabat serta seluruh umatnya yang setia dalam perjuangan agama dan dakwah seluruhnya.

Ya Rabbi,andai seluruh jiwa terkorban dalam dakapan lena, tidak lagi bertingkah untuk menggesel segala hujah akan ku hamparkan segalanya, bukan untuk di nilai oleh mata-mata yang pahit untuk menelan, tapi untuk meleraikan segala helaan nafas yang terkubur bersama angin yang melalui setiap liku-liku hujung pancaran dalam ketenangan.

Ah, sungguh tenang dan damai setiap kata hati yang terluah tanpa mengukir sebarang hasil cipta yang bertandang dalam minda. Bukan niat untuk menikam diri tanpa bicara, tapi sekadar sandaran dalam mengusai perasaan.

Sudah lama santun ini terpaut dalam payah, kerana kelemahan dalam setiap kata yang tersirat. Layakkah diri ini atau tidak? itu bukan persoalannya dan tidak lagi untuknya, kerana gulungan wadah ini telah terlerai setelah ia disentuh dalam separa sedar, kerana langkah yang penuh kekuatan, bukan untuk mengharap, mendakap, mengenal atau apa sahaja. Hati ini telah berbisik, dalam syahdu bersama ketenangan, kedamaian dan keberkatan, lantas ku terimanya. Sayup diri ini meniti, tapi Allah maha mengetahui segala janji, Ya! itu sudah pasti, cuma sekelumit pandangan yang kabur dalam nilaian yang hanya mengetahui luaran, dalam itu ada apa? tidak pernah di hiraukan hanya sahnya apa yang dilihat dan di ketahui, bagaimana dengan memahami? jauh, sungguh jauh, namun ianya pasti diterokai.

Subahanallah, setinggi mana darjat yang Engkau berikan bagi orang-orang seperti diri ini yang penuh onak halangan dalam merempuh ujian. Mawar berduri sentiasa berdiri setia menanti penyentuhnya, namun hanya rasa takut yang ada, bagaimana sakitnya? ada! namun hanya sekali ku pejam dengan penuh tawakkal kepada Nya sebagai pengubat diri. Walau seluas mana mawar meletakkan dirinya pasti lancar rasa degupan, tetapi setiapnya ada perbezaan, hanya diri dapat menilai dan tiada siapa jua merasai melainkan Yang Maha Mengetahui. Tanpa gerakkan mulut dan anggota lainya mengilhamkan orang sekeliling untuk memahami dialog hati dan perasaan untuk di bicarakan bersama logiknya akal.

Alhamdulillah, sungguh luar biasa ciptaan Yang Maha Berkuasa, bila kiri penuh dengan tangisan dan rasa kerinduan akan kesenangan abadi, ada sahaja yang bertandang sebagai tetamu, bukan untuk menambah koleksinya tetapi datangnya tanpa di pinta. Kanan yang sentiasa dalam kondisi dan imbangan yang selesa keadaannya terlalu lemah untuk menghitung angkatan tentangannya. Yang Maha Adil, tentu sahaja mengetahui tahap kekuatan di antara keduanya. Pasti ada yang datang untuk menutupi yang telah terhakis dan dengan Izin Nya ia telah pun ada.

Allahuakhbar, hebatnya tempisan yang dilontarkan untuk menguji segala tumpuan, apa sahaja yang ada di hadapan bagi mencuri langkah sebagai mahar dalam kekuatan yang bukan sahaja lahir dalam pengharapan tapi dambaan yang telah lama menusuk kalbu sebutir mutiara yang tiada taranya. Masihkah ada harapan dalam menggapai bintang yang jauh dari penglihatan atau mungkin sahaja ia hanyalah khayalan. Ujian ini sungguh luar biasa taranya, benarlah setiap bait kata-kata yang terungkap itu ada tafsirannya.

Lailahaillaullah, Linangan air mata yang sentiasa menemani perindu dalam helaan bayu, bukan di ukir untuk memadu perasaan yang muncul dalam pelbagai hiasan hanya kerana melihat aliran-aliran yang di hidangkan bagi menguji sebesar-besarnya kesabaran dalam himpitan sekelumit hati yang menilai pertuturan setiap anggota yang menjadi saksi kebisuan. Keterlanjuran langkah yang telah di corakkan sebagai bukti bagi yang menyaksikan keperitan dan kepayahan yang dipikul sepanjang usia menyahut cabaran kematangan, bukan proses mengenal pasti adalah kotak pertama yang diisi tapi kemahiran bagi menempis segala aral dan hadang yang menjadi syarat sebelum melambai pada yang telah mendahului dan memimpin bagi yang dibelakangi.

Segala kebekuan telah dilenturkan sebagai cairan yang penuh pengorbanan dan pengharapan agar ianya tidak lagi terkumpul untuk mrngulangi hayatnya. Hadiah dari Tuhan Semesta Alam, yang memiliki segala isi di langit dan di bumi tiada yang terkecuali dalam pemilikan Nya. Terima Kasih Tuhan telah memilih setitis ciptaan dariMu untuk menunaikan janji dan ikrar yang telah bermula dengan tangisan esakkan namun disahut dengan senyuman bagi setiap yang melihatnya dan kebahagiaan yang di sinari pancarannya.

Namun, tidak pernah mengharap apa-apa yang telah terhidang sebelum kelahirannya di dunia yang penuh dengan fana dan durjana oleh mereka yang mematahkan janji Rabbi. Kini, perjalanan jauh bakal di harungi sebagai ujian dalam kebenaran lisan yang telah di persetujui sehingga hari ini. Dengan itu bermulanya detik ini, apa sahaja yang bakal dan akan berlaku, sama ada yang seperti di harapkan atau sebaliknya, Semoga setiap langkah sentiasa diredhai, dirahmati dan sentiasa dilindungi serta di jauhkan dari segala kesengsaraan, kesedihan, kepahitan, kemaksiatan, keburukkan dan keaiban yang sentiasa mengejar mereka yang penuh dengan kelalaian. Terimalah seadanya kerana inilah Ketulusan Hikmah yang Maha Perancang. Semoga berbahagia menjadi tetamu yang Maha Agung.


Nukilan:
Rostina Jakla
2355, 100609
Gombak, Selangor.

Hak cipta terpelihara.

Monday, June 8, 2009

KEDEGILAN YANG SEMAKIN CAIR

"Assalamualaikum.."

"Wa'alaikumsalam, ha! awak ke Rostina?"

"Iya, saya Cikgu."

"Adik Junaina?"

"Ha'ah."

"Sorang je? Kakak mana?"

"Kejap lagi dia datang, dia kata ada benda nak siapkan dulu."

"Benda apa yang dia nak siapkan?"

"Tak tau."

"Aik, kakak sendiri pun tak nak ambil tahu?"

"Hmmm..Sabar jelah.." ( bisik hati saya )


..................................................................................


"Lepas solat Asar ni, saya nak semua peserta perempuan pakai tudung lengkap dengan anak tudung, jangan sehelai rambut pun nampak ! yang selempang-selempang tu tolong turunkan, pakai tudung biar menutup aurat ! bukan nak tutup urat leher je ! dan satu lagi pakai stokin ! yang pakai t-shirt lengan pendek, tolong tukar ! di sini hanya t-shirt lengan panjang sahaja di benarkan. Sama juga macam peserta lelaki tadi, saya tak nak tengok kamu pakai seluar jean, kita sekarang ni dalam hutan, saya tak nak nanti jin datang menuntut seluar dia yang kamu pakai. Faham?." Cikgu Nasir yang saya temui pagi tadi nampak garang dan menakutkan.

"Fahaaaam....". Jawab 43 orang peserta perempuan, namun mulut saya tidak pun terbuka untuk menjawab.

Dengan perasaan yang pelbagai, mata saya melirik pada kakak saya yang bertugas sebagai urusetia program tersebut.

"Nak balikkkk.." ( bisik hati saya )

Kakak tersenyum, seperti mendengar bisikan hati saya.


..................................................................................



Program Ijtima' Pelajar-Pelajar Islam Sabah ( IPIS ) Kali ke-8 yang di adakan selama 6 hari julung-julung kalinya saya sertai, kalau sebelum ini saya selalu mengikuti program-program sekolah rendah saya dan hanya bersuka-suka kerana pengisiannya juga yang penuh dengan permainan 'suka-suka'.

Program ini adalah "Dunia Baru" saya sebagai pelajar Tingkatan 1. Hati saya yang penuh rasa 'terpaksa' mengikuti program ini langsung tidak melihat apa positif nya saya menyertai program sebegini.

Setelah mengamati wajah-wajah setiap peserta hanya 4 orang sahaja yang saya kenali, kawan-kawan satu sekolah menengah saya. Bukan tidak mahu menyapa mereka tapi kerana mood yang tidak kena pada tempatnya merelakan diri untuk berseorangan.



..................................................................................


"Kak, orang nak balik.."

"Tunggulah dulu, tinggal 4 hari lagi.. kita sama-sama balik, mak pesan jangan tinggalkan kau, nanti ada apa-apa terjadi akak yang kena."

"Alaa.. 4 hari tu lama.."

"Tak lama.. sekejap je tu, jangan selalu tengok jam."

"Kenapa kak senyum?"

"Akak tengok dari semalam kau selalu jeling jam, agak nya kalau jam tu boleh bercakap mesti dia kata, apa jeling-jeling? ada hutang?"

Kami ketawa..




.................................................................................



"Ok, malam ni sudah 3 hari kita bersama-sama dalam program IPIS ni. So, mulai esok kita akan ada aktiviti-aktiviti lasak yang mencabar dan sangat-sangat menyeronokkan semuanya khas di cipta untuk kamu, macam mana semua..suka tak..???"

"Takkk..."

"Sukaaa..."

"Tengok lah macam mana..."

"Best ke???"

"Aktiviti macam mana??"

Macam-macam jawapan yang di berikan. Riuh dewan dibuatnya.




..................................................................................



Entah kenapa pagi ini saya rasa sedikit bersemangat di bandingkan dengan hari-hari sebelumnya." Hari ini aktiviti mencabar, aktiviti apa ya? tak sabar rasanya "

Dalam semua aktiviti-aktiviti lasak yang diadakan, Alhamdulillah hampir semua aktiviti berjalan dengan lancar dan saya tiada masalah untuk melakukannya. Namun ada satu aktiviti yang mencabar kreadibiliti saya sebagai 'orang bandar'.

"Aktiviti ni kami namakan "Mencapai ke puncak". Apa yang abang nak kamu lakukan, setiap kumpulan akan di 'hadiah'kan sebuah pokok mangga, di mana setiap kamu kena panjat pokok ni dan cari posisi masing-masing, syaratnya kesemua ahli mesti sampai ke atas kemudian kakak-kakak dan abang-abang fasi akan bagitahu apa yang perlu kamu lakukan. Di sini hanya ada 8 pokok jadi hanya 8 kumpulan sahaja yang akan mendahului yang 8 kumpulan lagi ikut abang!."

Ya Allah, kena panjat pokok! habislah.. seumur hidup saya, saya tak pernah panjat pokok.

"Cepat..."

"Cepat..."

Bergilir-gilir ahli-ahli kumpulan memanjat pokok sambil di perhatikan oleh para urusetia dan fasilitator.

Tibalah giliran saya." mana kakak ni.." Dari awal lagi kelibat kakak saya tidak kelihatan.

"Tina, cepat..."

"Tak nak.."

"Cepat panjat.."

"Tak nak, takut.."

"Panjat saja.. kakak-kakak fasi ada, jangan takut"

"Eeee.. orang kata tak nak! tak nak lah...". Terasa mahu menangis sahaja ketika itu.

"kak nang...." jeritan hati saya, sambil mata mencari-cari.



"Yang 13 orang ni kenapa tak panjat?"

"Diorang tak nak cikgu." jawab seorang abang fasilitator yang dari tadi tidak berhenti- henti meminta kami untuk panjat pokok. Kedegilan kami, mencabar dirinya.

Cikgu Nasir dengan muka yang garang dan tegas meminta kami untuk panjat pokok. Namun jawapan kami tetap sama.

"tak nak la cikgu.. takut.."

"Kamu semua ni daripada mana?"

Masing-masing menjawab. Kesemunya:
6 orang dari Tawau
5 orang dari Sandakan dan
2 orang dari Kota Kinabalu

"Oooo, patutlah... orang-orang bandar !"

Kami saling berpandangan. Bukan semua orang bandar tak pandai panjat pokok, cuma kebetulan kami memang tak pandai. Walhal, ada sahaja orang-orang diantara kami sudah sampai di atas pokok.

"Kamu jangan nak tunjuk lagak di sini ! Jangan ingat kamu budak bandar saya akan kecualikan. Di sini kamu semua sama ! kalau mereka panjat kamu juga kena panjat."

Ketegasan Cikgu Nasir semakin terserlah, sehingga loghat Kedah nya juga terserlah.

Perlahan-lahan kami berepecah dan menuju ke pokok kumpulan masing-masing, mereka di atas sudah melakukan aktiviti yang kelihatannya seronok tapi diri saya tetap tidak mahu untuk panjat pokok. Kedegilan yang masih beku.


..................................................................................



Selesainya sahaja kumpulan saya membuat persembahan lakonan, kelihatan kakak saya seperti tengah berbincang sesuatu dengan Cikgu Nasir.


"Sekarang dah masuk pukul 11.00 malam. Abang nak kamu semua masuk bilik masing-masing dan terus tidur. Esok, pukul 4.00 pagi semua mesti ada di sini, siap dengan wudhu' kita qiamullail di sini. Insya' Allah, cikgu Roslan yang akan datang dalam pukul 4.15 pagi, beliau akan bersama-sama kita dalam qiam nanti". Abang Osman yang rajin berceloteh setiap malam sepanjang program. Malam ini adalah malam terakhir kami bersama-sama dalam program IPIS kali ke-8.





.................................................................................


Subuh yang amat bermakna. Cepat sahaja berlalu. Hari ini kami akan pulang ke rumah masing-masing, kalau sebelum ini tidak sabar untuk pulang ke rumah namun pagi ini terasa berat untuk meninggalkan sahabat-sahabat yang selama 6 hari kami setilam, sebilik, sekumpulan, seprogram dan sekampung. Walaupun hanya selama 6 hari namun ukhuwah yang terjalin tanpa di sangka telah melepaskan linangan air mata yang sukar untuk di luahkan. Peserta lelaki dan peserta perempuan, titisan air mata pada hari itu tiada bezanya, kesemuanya kerana ukhuwah yang terjalin tanpa di rancang.

Kenangan itu, adalah kenangan yang terindah! tiada nilaian nya! ia milik kita! kerana kenangan itu menjadikan KEDEGILAN ITU SEMAKIN CAIR !. Kakak berbisik, " Semalam Cikgu Nasir kata, kedegilan kau sudah cair !."

Wednesday, June 3, 2009

Atas Nama Cinta..

Perempuan dari perspektif Islam

"Sesuai dengan sifat-sifatnya yang lembut, pengasih dan penyayang maka perempuan adalah pelengkap kepada kehidupan kaum lelaki. Justeru, bagaimanapun gagah serta perkasanya seorang lelaki, ia tetap tidak boleh hidup bersendirian tanpa di temani oleh kaum perempuan, sebab di sisi seorang lelaki yang berjaya itu sudah pasti berdiri seorang perempuan yang setia. "



Perempuan dari perspektif Islam sewajarnya memelihara diri dari sebarang sifat-sifat tercela, perlakuan yang tidak sihat, sumbang atau tidak bersusila. Perempuan seharusnya lemah lembut, berbudi bahasa, pengasih serta penyayang, bersopan santun penuh dengan naluri keibuan serta taat kepada suami. Mereka juga bijak dalam menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak disamping menutup aurat.

Dalam surah al-Ahzab ayat 59, Allah SWT berfirman : "Wahai nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak perempuan kamu serta isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka, yang demikian itu tujuannya ialah untuk mereka lebih mudah dikenali serta tidak diganggu"


Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar dari rumah, maka dia akan diganggu oleh gerombolan syaitan"


Dalam surah an-Nur ayat 31 pula berfiman : "Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka manahan pandangannya, memelihara kemaluannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan kecuali yang biasa kelihatan daripadanya."


Begitupun dalam arus kehidupan moden ini, ramai kaum wanita yang keluar dari rumah untuk bekerja bagi membantu suami serta menambahkan pendapatan keluarga. Namun ini tidaklah menjadi apa kalau kaum perempuan dapat menjaga diri dan memelihara kehormatan mereka agar tidak terbentur dengan beraneka pancaroba serta godaan yang boleh menyebabkan mereka jatuh serta hanyut dengan segala tipu daya serta permainan hidup yang pura-pura.


Sabda Nabi s.a.w : " Tidak ada fitnah sesudahku yang lebih membahayakan bagi kaum lelaki kecuali fitnah dari golongan perempuan."


Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w pula bersabda: "Waspadalah kamu terhadap dunia dan berwaspadalah terhadap kaum wanita kerana fitnah yang pertama kali muncul di kalangan bani israel berpunca daripada kaum wanita."

Seterusnya sabda Baginda: "Sesungguhnya orang perempuan bila memakai wangi-wangian kemudian berjalan pada suatu kaum supaya kaum itu tercium akan haruman yang dipakainya maka itu adalah zina."

Sesungguhnya bagaimanapun hebatnya kerjaya seorang perempuan di luar rumah, namun apabila berada di dalam rumah, ia adalah menjadi hak mutlak suaminya sahaja. Oleh itu seorang perempuan diwajibkan taat kepada suaminya.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Jika seandainya Tuhan memerintahkan supaya manusia itu sujud kepada sesama manusia, maka nescaya aku perintahkan para isteri supaya sujud kepada suaminya."

Selain itu, Nabi s.a.w bersabda lagi: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan taat kepada suami, maka hendaklah ia masuk ke syurga dari sebarang pintu yang ia kehendaki."

Sesungguhnya isteri yang setia adalah sebesar-besar perbendaharaan untuk seorang suami dan seorang ibu yang pengasih dan penyayang adalah anak-anak. Justeru itu, sebuah syair Arab menyebut, "Ada tiga perkara yang boleh membawa kebahagiaan ; rumah yang lapang, kenderaan yang baik dan isteri yang setia." Sementara dalam sebuah hadis riwayat Muslim pula menyebut: " Dunia itu adalah perhiasan dan harta benda, maka sebaik-baik perhiasan dan harta benda itu ialah isteri yang solehah."

Maka demikianlah peranan serta tanggungjawab seorang perempuan atau seorang isteri sangat penting, bukan sekadar dalam lingkungan rumah tangga sahaja tetapi menyeluruh hingga kepada kebahagiaan dan kesentosaan sesebuah masyarakat dan negara. Ini di jelaskan lagi dengan sabda Nabi s.a.w : "Apabila baik akhlak wanita maka baiklah masyarakatnya tetapi apabila buruk akhlak wanitanya maka akan rosaklah sesuatu masyarakat dan bangsa itu sendiri."

Menyorot kepada keadaan yang berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini, kita mendapati bahawa banyak berlaku perkara-perkara yang tidak di ingini seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, hubungan seks luar nikah, pengguguran anak serta pembuangan bayi yang kesemuanya ini melibatkan maruah dan kewibawaan kaum wanita.

Adalah diharapkan penghayatan nilai-nilai ajaran agama akan dapat di laksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh supaya akhlak dan moral kaum wanita akan terpelihara.

Sesungguhnya perempuan itu diciptakan dari tulang rusuk kaum Adam yang bengkok, maka bagaimanapun kita cuba meluruskannya ia tetap juga bengkok.

Ketika menaiki buraq dalam perjalanan ke langit sewaktu peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad s.a.w tiba-tiba terdengar suatu suara perempuan memanggilnya dari arah belakang. Ketika baginda hendak berpaling, maka Jibril telah menampar muka Nabi sehingga terpaling lalu Jibril berkata : "Jangan pedulikan suara itu." Maka Nabi bertanya : Kenapa?" Lalu dijawab oleh Jibril: " Itulah perempuan dan itulah dunia."


Sumber: Majalah Muslimah


Sacrifice



Fix your eyes

upon the greatness of your country

as you have it before you

day by day..



and when you feel her great

remember that her greatness

was bond by man with courage

with knowledge of their duty



and with a sense of honor in action

who? even if they failed

in some venture

would not think

of depriving their country

of their powers

but laid them at her feet

as their fairest offering.




Tuesday, June 2, 2009

Banyakkan menulis, membaca dan merenung


Diantara saranan yang dapat melegakan hati adalah dengan ILMU yang banyak, pengetahuan yang melimpah dan wawasan yang luas, selain itu juga adalah pemikiran yang dalam, berpandangan jauh, kemampuan mengungkap hakikat segala sesuatu, hujah yang bernas dan banyak lagi.


Sesungguhnya, orang yang berilmu sentiasa berlapang dada, memiliki hati yang tidak sempit, serta mempunyai jiwa yang tenang dan luas.


Ilmu akan bertambah
Dengan banyak mengajarkannya
Dan akan berkurang
Jika terus dipendam begitu sahaja


Seorang pemikir barat mengatakan :
"Saya mempunyai catatan harian tebal yang tersimpan dalam laci pejabat, diatasnya tertulis "kebodohan-kebodohan yang saya lakukan". Saya tuliskan semua kesalahan, keterlanjuran dan hal-hal remeh yang saya lakukan setiap hari agar saya dapat menghilangkan semua itu."


Dr. 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni Berkata:
"Anda bukan orang pertama melakukan itu, Para Ulama' terdahulu dan umat islam telah melakukan dengan bermuhasabah secara mendalam dan mengawal diri dengan ketat.


Hasan Al-Bashri mengatakan:
"Seorang muslim lebih banyak bermuhasabah diri sendiri daripada menilai temannya."

Rabi' bin Khutsaim selalu menulis apa yang dia ucapkan dari hari jumaat ke hari jumaat yang berikutnya. Jika apa sahaja yang dia ucapkan selama seminggu itu baik, maka dia akan memuji Allah, dan jika sebaliknya, maka dia beristighfar.


Dan orang-orang yang memberikan apa-apa yang mereka telah berikan (sedekah) dengan hati penuh rasa takut (kerana mereka tahu) bahawa sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhannya ( Al-Mu'minun :60)