Followers

Monday, October 25, 2010

Segenggam Tabah.. UJIAN dari ALLAH..


Di suatu masa, ada ketikanya diri terasa lemah tatkala menghadapi dugaan dan ujian yang begitu perit untuk di hadapi. Hati mana yang gagah untuk menerima terus ujian yang datang tanpa terasa diri lemah dengan fitrah. Sambil melayari hari-hari dalam kehidupan, terkadang airmata mengalir serentak dengan hibanya hati tika ianya datang tanpa diundang. Maka, mulalah terasa diri bersendirian dan hilang rasa keyakinan apatah lagi kekuatan.

"Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (begitu sahaja dengan) mengatakan : Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta"[ Al-Ankabut: 2-3 ]

'Kenapalah ujian ni selalu datang.. tak habis-habis...'

'Ujian.. masalah.. dugaan.. selalu sangat.. rasa dah biasa dengan masalah-masalah ni semua.. nak buat macam mana...terima jelah'

Macam-macam lagi keluhan yang sering kedengaran. Benar, daripada sekecil-kecil zarah sehinggalah seluas-luasnya dunia ini, ujian itu pasti akan menemani kita. Keluhan apalagi yang mahu di keluarkan, semuanya sudah lali kedengaran. Hanya perbezaan dari ruang ianya datang menjadikan kita terasa bersendirian.


KISAH BENAR

ceritera 1 :

Seorang sahabat saya yang telah mengikat tali pertunangan 8 bulan yang lalu, dan keputusan bagi melangsungkan perkahwinan telah ditetapkan oleh kedua-dua pihak keluarga adalah pada 11 November 2010. Ya, Jika dikira-kira, waktunya sudah hampir tiba (ketika artikel ini di tulis).

Dua bulan yang lalu, persiapan sedang rancak di lakukan. Barang-barang hantaran hampir semua telah tersedia. Duit hantaran juga hampir separuh telah di belanjakan. Semakin hari semakin bertambah kesibukkan dalam persiapan menanti hari berlangsungnya Majlis Perkahwinan itu nanti. Segala tempahan baju, kad jemputan, pelamin, katering dan lain-lain juga telah dilaksanakan dengan sempurna.

Namun, segala apa yang telah dirancang dan semua persiapan itu terpaksa di hentikan buat sementara dek kerana satu perlakuan yang begitu pelik, tiba-tiba saja merubah perilaku dan keputusan pihak lelaki. Benarlah apa yang sahabat saya itu katakan, mana mungkin perkahwinan itu diteruskan jika hati tunangnya itu telah beralih arah daripada suka dan yakin akan keputusannya kepada penyesalan.

Hari demi hari, dia ditemani airmata. Sebagai sahabat, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuknya dan membantu selagi saya mampu. Mengembirakannya, itu adalah tanggungjawab saya juga.


Ceritera 2 :

Sebelum ini, saya hanya melihatnya sentiasa ceria dan gembira, mungkin kerana sifat yang ada pada dirinya menjadi saya sendiri tidak menyangka di sebalik keceriaannya itu ada terselit duka.

Setiap kali berjumpa dengannya, seperti ada sesuatu yang dia ingin sampaikan. Tatkala bersua, dia sentiasa bertanya waktu kelapangan saya. Tapi di akhirnya, dia seolah-olah melupakan hasratnya. Cerita yang di sampaikan bukanlah sepenting manapun sehingga perlu menunggu waktu terluang saya. Sehinggalah saya sendiri membuka ruang untuknya bercerita dan meluahkan segala masalah yang ada.

"Mak dan abah saya dah bercerai..." Menitis airmatanya serentak dengan hati saya berdentum mendengarnya. Saya tidak pernah berjumpa dengan kedua orang tuanya, tapi dia selalu mengkhabarkan tentang diri saya pada mereka sehingga seolah-olah saya merasakan bahawa mereka sudah mengenali saya dan saya juga sudah mengenali mereka. Namun hakikatnya, hanya Salam yang meghubungkan kami. Keluarga mereka sungguh ceria.

Ujian itu datang tanpa diduga. Badai yang melanda menguji penerimanya. Saya sendiri tidak mampu berbuat apa-apa selain doa yang sentiasa dipanjatkan kepada-Nya. Hanya perkataan SABAR yang mampu terkeluar dari hati saya untuk menenangkannya. Namun percayalah, hati saya juga 'terpukul' dengan ujian itu.

Allah menuji, bererti Allah menyayangi..



DIALAH DIHATI

Selaku orang yang beriman, dan percaya akan Allah itu Tuhannya, apabila ia ditimpa musibah ia kena cepat-cepat ingat kepada Allah s.w.t dan kembali kepadanya dan sebaik-baik senjata orang mukmin itu ialah bersabar dan berdoa. maka, berdoalah..

" Ya Allah, limpahkankan rahmat-Mu keatas junjungan kami Nabi Muhammad saw, sebagai selawat yang mendatangkan keredhaan dan memenuhi semua hak keutamaan baginda. Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau yang menciptakan, dan aku adalah abdi-Mu, dan aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, akan aku laksanakan dengan segala kemampuanku dan aku berlindung dengan-Mu daripada setiap kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui akan sebesar-besarnya nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengapuni aku kecuali Engkau. "



Inspirasi dari Ceramah Syeikh Aidh al-Qarni

* Setelah kesusahan pasti ada kemudahan.

" Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya) atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. maka kerana itu mereka menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan" [ al-Ma'idah : 52 ]

Bersama airmata akan ada senyuman. Bersama rasa takut akan muncul rasa aman. Rasa gelisah akan berganti dengan ketenangan.

Jangan pernah berputus asa, sebab Allah adalah tempat memenjatkan doa. Jangan pernah merasa hilang harapan kerana Allah adalah tempat meminta. Jangan pernah merasa kehilangan arah hidup sebab Allah adalah MUARA SEGALA TUJUAN.

:::.... Ketahuilah bahawa kemenangan akan datang setelah kesabaran. kelapangan akan datang setelah kesusahan dah setelah kesusahan pasti ada kemudahan...:::


~Tinaros Tina~

1 comment:

  1. cerita pertama 2 macam kenal je sape orgnye... hehehe....

    ReplyDelete