Followers

Pages

Saturday, July 25, 2009

INSPIRASI HIDUP

Alhamdulillah. Syukur yang tidak terhingga kepada yang Maha Pencipta langit dan bumi serta seluruh Makhluk Nya.

Setiap hujung minggu saya pasti akan dipenuhi dengan pelbagai program yang di anjurkan, sama ada terlibat secara langsung ataupun tidak ianya pasti akan memerlukan komitmen yang tinggi untuk dilaksanakan bersama sahabat-sahabat seperjuangan agar program-program yang di adakan itu berjalan dengan jayanya, InsyaAllah.

Hari ini saya sepatutnya berada di PWTC menjadi hakim untuk program SAUDARA BARU anjuran JAKIM. Namun, kerana janji saya kepada anak saudara ( Amirah )untuk datang melihat dia dalam Sukaneka Tahunan Tadika Islam Permata Indah, terpaksa saya batalkan dan replace pada sahabat lain, (thanks & sorry fizah ;)) kerana "Janji mesti di kotakan". Alhamduliullah, mira johan 2 acara ( Susun tin & Cari guli dalam tepung ) tapi wajahnya nampak biasa sahaja, mungkin kerana Umminya tak dapat datang kerana adik demam panas. "Ummi kena jaga adik" puas abahnya pujuk.




SEINDAH UKHUWAH SEMANIS BICARA,
KITA LAKSANAKAN IMPIAN BERSAMA




Beberapa minggu yang lepas, Nisa' Gombak telah berjaya melaksanakan satu lagi visi bagi tahun ini dalam menjalinkan ukhuwah sesama islam khususnya kepada golongan remaja yang memerlukan perhatian. Program Teen Circle mempunyai matlamat yang tinggi, bukan sahaja memberi pengetahuan agama kepada masyarakat di sekitar gombak, malah ianya juga adalah salah satu medan kepada aktivis Nisa' untuk membawa remaja-remaja tersebut mengikuti pentarbiyahan secara khusus agar hasrat untuk memurnikan agenda dakwah umum itu terlaksana.





"MATEMATIK SEPERTI KEHIDUPAN, NAMUN KEHIDUPAN TIDAK SEPERTI MATEMATIK"

Hampir setiap minggu saya terima SMS daripada adik-adik yang pernah mengikuti program bersama saya dalam NISA', SPIES, Program ADUN, PTRS dan macam -macam lagi. Akak minta maaf kalau ada SMS yang tak berbalas (tak da kredit kot!, atau mungkin sibuk). Apa yang ingin saya ceritakan sebenarnya? Em, semalam saya terima SMS daripada seorang bekas peserta Program SMART CAMP 1 anjuran Pejabat ADUN Gombak Setia. Tiba-tiba sahaja nombor yang tak di kenali terpapar di skrin Handphone saya dengan SMS yang cukup ringkas "Salam kak tina, betul ke berdakwah tu wajib? tapi kalau kita x minat, xpe ke, kalau xnak?;)".
Selepas berbalas SMS, barulah saya ingat tentang adik sue yang merupakan Penghuluwati program ketika itu. Sempat saya membelek beberapa buah buku berkenaan dakwah. Panjang lebar kalau nak cerita dalam SMS. Saya hanya dapat memberikan point-point yang penting, Walupun ringkas, namun saya bersyukur kerana dia dapat memahami.


BERDAKWAH SATU KEWAJIPAN

Dakwah adalan satu wasilah yang Allah s.w.t tentukan dalam penyampaian ajaranNya kepada umat manusia. Para Rasul yang di utuskanNya telah menjadikan amalan berdakwah sebagai tugasan yang mesti mereka laksanakan. Setiap Rasul telah menempuh pelbagai halangan dan rintangan daripada kaum mereka dalam melaksanakan tanggungjawab berdakwah, firman Allah s.w.t dalam surah Al-Nahl ayat 125 yang bermaksud :

"Serulah ke jalan Tuhan mu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik"

Berdakwah menyebarkan risalah Allah adalah merupakan tanggungjawab Rasul yang utama. Mereka menunaikannya tanpa rasa jemu, putus asa, kecewa dan hampa walaupun tidak ramai dikalangan umatnya yang dapat menerima apa yang di utarakan. Nabi Nuh a.s umpamanya telah menghabiskan usianya untuk menjalankan tugasan dakwah tanpa rasa jemu dan berputus asa, walaupun hanya segelintir sahaja dari kalangan kaumnya yang mahu mengikutinya. Allah s.w.t menerangkan hal tersebut dalam firman Nya dalan Surah Nuh ayat 5 dan 6 yang bermaksud:

"(setelah puas menyeru mereka) Nabi Nuh berdoa dengan berkata ; Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman): Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (suatu faedah pun) selain daripada mereka melarikan diri (dari kebenaran)."

MAKSUD BERDAKWAH

Dakwah secara umumnya ialah menyeru, mengajak, memujuk, mentarbiyah, mendidik, melatih, serta memimpin orang yang di seru supaya mengakui kebenaran risalah Allah s.w.t yang di bawa oleh Pesuruh Nya iaitu Rasulullah s.a.w. Isi kandungan dakwah yang utama antaranya ialah mengAgung dan MengEsakan Allah s.w.t, mengyakini dan mengimami perkara 'ghaibiyyat' melalui konsep "kami dengar dan kami taat" segala perkara yang datangnya dari Allah s.w. t, perkara yang berhubung kait dengan peribadatan kepada Allah s.w.t perkara yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia dengan alam.

Dakwah juga menurut Islam untuk mencegah dan melarang perkara mungkar dalam pelbagai bentuk dari di sebar dan bebas di lakukan seperti mana segala bentuk amalan telah dapat di hapuskan melalui dakwah Rasulullah s.a.w, melalui dakwah jugalah baginda s.a.w telah memberitahu Umatnya bahawa Allah s.w.t telah menggariskan segala amalan yang membawa kepada ketaatan dan pengabdian yang akan mendapat balasan syurga dan demikian juga sebaliknya, Allah s.w.t memberitahu manusia tentang amalan mungkar dan keji yang menyebabkan kepada kemurkaan Allah. Melalui dakwahlah kita dapat lihat akan keberkesanan, kesyumulan dan kesempurnaan ajaran Islam untuk memandu serta membaya hidayah kepada umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat di sebarkan melalui dakwah.

Dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, kemudiannya di teruskan oleh para sahabat, golongan tabi'in dan seterusnya oleh umat islam yang terdahulu dan telah memperlihatkan hasilnya apabila ajaran Islam tersebar luas ke seluruh pelusuk dunia .Ianya dapat di terima dengan baik oleh pelbagai lapisan bangsa dan masyarakat. Marilah sama-sama kita menjadikan tugas berdakwah sebagai tugas harian yang di lakukan untuk kebaikkan kita bersama dan bagi membina ummah yang hidup berlandaskan ajaran Islam yang Syumul. Sampaikanlah walau sepotong ayat.
Waullahu 'alam..

Sunday, July 12, 2009

WARNA WARNI KECERIAAN

Buat pertama kalinya selepas SUKPA '09. Bermulalah pakaian 'baju seragam' OREN setiap hari Jumaat sepanjang tahun sessi persekolahan untuk tahun ini.

Sebagai mukaddimah, Pagi Jumaat yang indah 10 Julai 2009..





Perhimpunan Pagi





Emm.. ramai lagi yang tak datang..






Persembahan Nasyid oleh pelajar Tahap 2 ( 6 Tahun )






Fazirah lupa lirik lagu..




Perut dah lapar ye..
Jom! Makan Nasi Lemak berjemaah






Tuu diaa.. Aiman yang tak pakai baju OREN,
selamber jer tunjuk gaya.. Siapa ajar Aiman ni?






Perempuan ketepi la, lelaki nak tangkap gambar ni..






Ha, sekarang korang ketepi, kami pula nak tangkap gambar..






Cikgu, handsome tak macam ni..






Cikgu, kitorang pun nak juga buat gaya macam lelaki tadi,
cantik tak..







ADLINA, BALQIS, AMIRAH,
AIMAN & FADLAN
Pelajar paling Junior, 4 tahun..




Inilah, Putra puteri..
Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam Pra-Tahfiz
PASTI ILMI LORONG ENGGANG
GOMBAK








Sekian Terima Kasih..

Monday, July 6, 2009

SUKPA '09

Petang sabtu yang lepas, seusai sahaja reheasel sukan pasti di padang Taman Pinggiran Batu Caves, di saat-saat terakhir kami membuat persiapan untuk Sukaneka Tahunan Pasti Gombak (SUKPA '09) bersama tiga orang lagi sahabat guru-guru PASTI yang lain, kami meronda-ronda di sekitar Kuala Lumpur untuk mencari 'ilham' bagi menceriakan lagi kontinjen Pasti masing-masing. Agak penat juga sebenarnya, namun kami gagahkan diri demi anak-anak didik yang di sayangi, kami lakukan semuanya kerana mereka, keseronokkan mereka, kepuasan hati mereka, kerana disitulah kebahagiaan kami.

"cikgu, nanti kita menang dapat hadiah banyak-banyak ke?"

"cikgu, kita berlatih sukan ni supaya dapat hadiah banyak ke?"

"cikgu, nanti dekat padang tu kita lawan semua PASTI, pastu kita menang, pastu kita dapat hadiah?"

"cikgu, nanti kita dapat hadiah besar ke hadiah kecil?"

Selama tempoh hampir dua minggu berlatih sukan macam-macam persoalan yang di ajukan oleh mereka, semuanya berkenaan 'hadiah', sekali berlari berkali-kali bertanya. Tak kurang juga yang merajuk kerana 'kalah' dengan kawan sendiri. Cikgu juga yang kena pujuk.

Latihan sukan di sekolah, pelajar lelaki akan berlawan dengan pelajar perempuan sesama mereka. Kalau pelajar perempuan kalah dengan lelaki, latihan hari itu tidak boleh di sudahkan kerana pasti akan ada yang muncung sejengkal, tapi jika pelajar lelaki kalah dengan perempuan, no matter.. cool jer.. paling teruk pun mereka hanya bersuara.
"ala, asal kita kalah je mesti dah habis kan?"
"ha'ah, kalau perempuan kalah, kena main lagi"

saya faham maksud mereka.


Ahad, 5 Julai 2009





Bermulalah detik sejarah Majlis Perasmian SUKPA '09. Macam-macam 'fesyen' yang di persembahkan dalam perbarisan masuk oleh pelajar-pelajar PASTI kawasan Gombak, sebanyak 14 buah PASTI yang mengambil bahagian dan di bahagikan kepada 3 DUN ( Batu Caves, Gombak setia, Hulu Kelang ). Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dengan penuh warna warni seindah warna-warna baju sukan pelajar-pelajar PASTI mengikut warna pasukan masing-masing. Majlis di mulakan dengan Syahadah, Ikrar Pelajar PASTI dan Ikrar Sukan PASTI, di ikuti dengan Lagu Negaraku dan Lagu PASTI ( Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam )seterusnya Ucapan perasmian di sampaikan oleh Ustaz Syarhan Humaizi selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak (DPPG) dan Penolong Kanan Pengerusi PASTI Kawasan Gombak.

Syukur Alhamdulillah, anak-anak murid saya pulang dengan membawa hadiah impian mereka. Masing-masing menunjukkan wajah-wajah yang ceria dan gembira. Ibu bapa mereka juga merasakannya.










Terima kasih kepada semua petugas-petugas SUKPA '09, Pemuda PAS Gombak, Unit Amal Gombak dan Nisa' Gombak (my friends) yang sabar melayan kerenah pelajar-pelajar PASTI, ibu bapa serta guru-guru PASTI yang out of control.

Sunday, June 14, 2009

..::LAFAZ YANG TERSIMPAN::..

" Mak tengok la ni, semua dah lukis. Mak, kak jue, kak sara, kak nang, abang, kak aleng, tina." Rengek saya.

" Wah... cantik! pandainya tina lukis." Pujuk mak.

" Tapi cikgu suruh lukis gambar keluarga, macam mana nak lukis gambar arwah ayah ni?." Balas saya.

" Minta tolong kak nang lukiskan." Pinta mak.



.....................................


" Kak, mak suruh tolong lukiskan muka arwah ayah."

" Lukislah sendiri."

" Tak tau.."

" Kalau nak tau muka arwah ayah, tengoklah muka pakcik, sama, mirip sangat." Jawab kak nang yang dari tadi sibuk dengan kerja-kerja sekolahnya. Pakcik yang di maksudkannya tadi adalah adik kepada Arwah Ayah.

" Tapi yang tu kan muka pakcik, mana boleh sama dengan muka ayah. Muka ayah, muka ayah! muka pakcik, muka pakcik! " Bisik hati saya yang sebenarnya ada rasa sedikit tidak berpuas hati. Saya langsung tidak dapat menggambarkan wajah Arwah Ayah kerana pemergiannya ketika itu, saya baru berusia 4 tahun.



.....................................



" Mak, yang adapun gambar ayah masa bujang, yang lain kan semua dah hilang." Kedengaran kak nang berbisik dengan mak di hadapan televisyen.

" Mana gambar keluarga yang kamu tiga beradik dulu? bagilah yang tu." Kata mak.

" Nah, lukislah yang ni." Kak nang menghulurkan gambar keluarga yang ketika itu mereka baru tiga beradik, kak nang yang masih bayi duduk di pangkuan mak, kak sarah berdiri di sebelah kiri mak dan kak jue berdiri di sebelah kanan Arwah Ayah. Mereka masing-masing berusia 9 bulan, 3 tahun dan 4 tahun.

" Hehe.. comelnya kak nang. Tapi kat sini muka arwah ayah masih muda, takkan nak lukis muka mak sekarang dan muka arwah ayah masa muda ni." Kata saya yang sebenarnya masih sukar untuk membayangi wajah Arwah Ayah.

" Kalau cikgu tanya, cakaplah macam ni. Ayah saya memang handsome cikgu, dulu, kini dan selama-lamanya, wajah dia takkan berubah, percayalah cikgu." Usik kak nang sambil menunjukkan gaya dialog yang kononnya untuk saya kepada cikgu.

Kelihatan mak melirik pada kak nang sambil tersenyum.


Tanpa bersoal jawab, saya cuba melukis wajah Arwah Ayah dengan 'bantuan' gambar hitam putih itu tadi.


Dan hasilnya, Alhamdulillah dapat 'pingat' huruf A. Handsome juga arwah ayah ni. Bisik hati saya.



............ KISAH 16 TAHUN YANG LALU.............



Hari ini genaplah 20 Tahun pemergian Arwah Ayah,

Salam Sayang yang penuh kerinduan dengan LAFAZ YANG TERSIMPAN buat Arwah Ayah yang tersayang..

"Selamat Hari Bapa" buat semua bapa-bapa di seluruh dunia.

Untuk Kami adik beradik, tiada yang terlepas di setiap saat hari-hari kami mengingati Arwah Ayah. Doa-doa kami buat Mak dan Arwah ayah sentiasa mewarnai kehidupan, kerana kelahiran kami atas nama cinta suci, Mak dan Arwah Ayah. Kami amat menghargainya di dunia hingga ke akhirat nanti, Insya Allah.

Terima kasih Ya Rabbi, Terima kasih Mak, Terima Kasih Mak, Terima Kasih Mak, Terima Kasih buat Arwah Ayah yang sentiasa di rindui..

Dari Kami... anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu Mak dan Arwah Ayah.

::> Untuk bakal menantu dan cucu yang kini sedang berbahagia di rahim Umminya. Maaf di pinta, kerana keluarga ini tidak dapat menghadiahkan seorang ayah mertua dan seorang datuk buat kalian. Namun, keluarga ini sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian, dan semoga kehadiran kalian dalam keluarga ini menambahkan lagi seri kebahagiaan kami. <::

Friday, June 12, 2009

ISLAM PASTI BOLEH

Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik
Dari semalam

Jangan Buang Masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada Allah Maha Kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Doa sebagai senjata

Umat Islam sentiasa Boleh!!
Umat islam sentiasa boleh!!

Umat Islam zaman lampau
Taat perintah Rasulullah
Bersama berusaha
Bersatu tuju wawasan
Dunia dan akhirat
Wawasan dunia dan akhirat

Akhirnya islam cemerlang seluruh dunia..




To: Anis~ Betul ke lirik nie? hehe..lupa-lupa ingat plak..
To: Kak Ita~ Terharu ke? ehe, tak ada apa la kak..itu sekadar Ceritera Citra Cahaya Cinta, huhu.. Hati tengah sedih kot! =) ntah, happy pun mungkin gak..=) Confious! Forget it!

Wednesday, June 10, 2009

KETULUSAN HIKMAH MAHA PERANCANG

Segala puji hanya bagi Allah S.W.T. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam sentiasa tercurah untuk Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. berserta keluarga, para sahabat serta seluruh umatnya yang setia dalam perjuangan agama dan dakwah seluruhnya.

Ya Rabbi,andai seluruh jiwa terkorban dalam dakapan lena, tidak lagi bertingkah untuk menggesel segala hujah akan ku hamparkan segalanya, bukan untuk di nilai oleh mata-mata yang pahit untuk menelan, tapi untuk meleraikan segala helaan nafas yang terkubur bersama angin yang melalui setiap liku-liku hujung pancaran dalam ketenangan.

Ah, sungguh tenang dan damai setiap kata hati yang terluah tanpa mengukir sebarang hasil cipta yang bertandang dalam minda. Bukan niat untuk menikam diri tanpa bicara, tapi sekadar sandaran dalam mengusai perasaan.

Sudah lama santun ini terpaut dalam payah, kerana kelemahan dalam setiap kata yang tersirat. Layakkah diri ini atau tidak? itu bukan persoalannya dan tidak lagi untuknya, kerana gulungan wadah ini telah terlerai setelah ia disentuh dalam separa sedar, kerana langkah yang penuh kekuatan, bukan untuk mengharap, mendakap, mengenal atau apa sahaja. Hati ini telah berbisik, dalam syahdu bersama ketenangan, kedamaian dan keberkatan, lantas ku terimanya. Sayup diri ini meniti, tapi Allah maha mengetahui segala janji, Ya! itu sudah pasti, cuma sekelumit pandangan yang kabur dalam nilaian yang hanya mengetahui luaran, dalam itu ada apa? tidak pernah di hiraukan hanya sahnya apa yang dilihat dan di ketahui, bagaimana dengan memahami? jauh, sungguh jauh, namun ianya pasti diterokai.

Subahanallah, setinggi mana darjat yang Engkau berikan bagi orang-orang seperti diri ini yang penuh onak halangan dalam merempuh ujian. Mawar berduri sentiasa berdiri setia menanti penyentuhnya, namun hanya rasa takut yang ada, bagaimana sakitnya? ada! namun hanya sekali ku pejam dengan penuh tawakkal kepada Nya sebagai pengubat diri. Walau seluas mana mawar meletakkan dirinya pasti lancar rasa degupan, tetapi setiapnya ada perbezaan, hanya diri dapat menilai dan tiada siapa jua merasai melainkan Yang Maha Mengetahui. Tanpa gerakkan mulut dan anggota lainya mengilhamkan orang sekeliling untuk memahami dialog hati dan perasaan untuk di bicarakan bersama logiknya akal.

Alhamdulillah, sungguh luar biasa ciptaan Yang Maha Berkuasa, bila kiri penuh dengan tangisan dan rasa kerinduan akan kesenangan abadi, ada sahaja yang bertandang sebagai tetamu, bukan untuk menambah koleksinya tetapi datangnya tanpa di pinta. Kanan yang sentiasa dalam kondisi dan imbangan yang selesa keadaannya terlalu lemah untuk menghitung angkatan tentangannya. Yang Maha Adil, tentu sahaja mengetahui tahap kekuatan di antara keduanya. Pasti ada yang datang untuk menutupi yang telah terhakis dan dengan Izin Nya ia telah pun ada.

Allahuakhbar, hebatnya tempisan yang dilontarkan untuk menguji segala tumpuan, apa sahaja yang ada di hadapan bagi mencuri langkah sebagai mahar dalam kekuatan yang bukan sahaja lahir dalam pengharapan tapi dambaan yang telah lama menusuk kalbu sebutir mutiara yang tiada taranya. Masihkah ada harapan dalam menggapai bintang yang jauh dari penglihatan atau mungkin sahaja ia hanyalah khayalan. Ujian ini sungguh luar biasa taranya, benarlah setiap bait kata-kata yang terungkap itu ada tafsirannya.

Lailahaillaullah, Linangan air mata yang sentiasa menemani perindu dalam helaan bayu, bukan di ukir untuk memadu perasaan yang muncul dalam pelbagai hiasan hanya kerana melihat aliran-aliran yang di hidangkan bagi menguji sebesar-besarnya kesabaran dalam himpitan sekelumit hati yang menilai pertuturan setiap anggota yang menjadi saksi kebisuan. Keterlanjuran langkah yang telah di corakkan sebagai bukti bagi yang menyaksikan keperitan dan kepayahan yang dipikul sepanjang usia menyahut cabaran kematangan, bukan proses mengenal pasti adalah kotak pertama yang diisi tapi kemahiran bagi menempis segala aral dan hadang yang menjadi syarat sebelum melambai pada yang telah mendahului dan memimpin bagi yang dibelakangi.

Segala kebekuan telah dilenturkan sebagai cairan yang penuh pengorbanan dan pengharapan agar ianya tidak lagi terkumpul untuk mrngulangi hayatnya. Hadiah dari Tuhan Semesta Alam, yang memiliki segala isi di langit dan di bumi tiada yang terkecuali dalam pemilikan Nya. Terima Kasih Tuhan telah memilih setitis ciptaan dariMu untuk menunaikan janji dan ikrar yang telah bermula dengan tangisan esakkan namun disahut dengan senyuman bagi setiap yang melihatnya dan kebahagiaan yang di sinari pancarannya.

Namun, tidak pernah mengharap apa-apa yang telah terhidang sebelum kelahirannya di dunia yang penuh dengan fana dan durjana oleh mereka yang mematahkan janji Rabbi. Kini, perjalanan jauh bakal di harungi sebagai ujian dalam kebenaran lisan yang telah di persetujui sehingga hari ini. Dengan itu bermulanya detik ini, apa sahaja yang bakal dan akan berlaku, sama ada yang seperti di harapkan atau sebaliknya, Semoga setiap langkah sentiasa diredhai, dirahmati dan sentiasa dilindungi serta di jauhkan dari segala kesengsaraan, kesedihan, kepahitan, kemaksiatan, keburukkan dan keaiban yang sentiasa mengejar mereka yang penuh dengan kelalaian. Terimalah seadanya kerana inilah Ketulusan Hikmah yang Maha Perancang. Semoga berbahagia menjadi tetamu yang Maha Agung.


Nukilan:
Rostina Jakla
2355, 100609
Gombak, Selangor.

Hak cipta terpelihara.